" Mutiara Kata "

Wednesday 30 November 2011

Kalendar Tahun 2012

   Terasa masa berlalu terlalu pantas meninggalkan kita. Apakah azam kita sudah tercapai ataupun tidak ? mari kita sama-sama renungkan. Di sini saya sertakan kalendar Tahun 2012 untuk panduan semua.

Sila layari laman web di bawah untuk mendapatkan Kalendar 2012 :

Monday 28 November 2011

Pantun Khas Buat Guru



Hati yang perit serah-serahi,
Buat luahan jantung karangan;
Sayangkan murid marah-marahi,
Muka kasihan ditunjuk jangan.

Longan, ciku, kuih bahulu,
Asam jawa, buah pulasan;
Jangan cikgu memilih bulu,
Biar semua dapat balasan.

Cucur badak di kedai nenek,
Murahnya harga dapat berjimat;
Ajar budak akhlak yang baik,
Dunia dibangga, akhirat selamat

Makanlah sagu desa Kerinchi,
Menyabit di hutan Kampung Kepayang;
Bukanlah cikgu berasa benci,
Cubit dan rotan penghubung sayang.

Pulang pemburu dengan riangnya,
Dapat menghambat si anak rusa;
Berjuang guru dengan ilmunya,
Menobat martabat si anak bangsa.

Buat sempadan darinya parit,
Guna menghadang orang seludup;
Guru teladan kepada murid,
Diikut dipandang di dalam hidup.

Makcik Siti menenun gebar,
Untuk si adik lena berangan;
Cikgu mesti banyak bersabar,
Tugas mendidik bukannya ringan.

Pinjamlah nyiru rumah Pak Alang,
Untuk mengisi si buah pala;
Jasanya guru bukan kepalang,
Mengajar mengenal ilmu segala.

Berjalan kaki ke Pekan Sialang,
Ingin membeli cincin suasa;
Doktor, hakim, pemimpin terbilang,
Bermulanya dari guru biasa.

Tasik Aru airnya tenang,
Tempat melihat si burung undan;
Jasa guru tetap dikenang,
Selagi hayat dikandung badan.

Ayu semarak di sisi bonda,
Kekal berseri jambangan gelora;
Guru pencorak generasi muda,
Bakal mengisi kepimpinan negara.

Jiwa derita batin merana,
Kenangan silam tiada ceria;
Guru pelita penerang buana,
Menyuluh kelam dengan cahaya.

" Memartabatkan Bahasa Kita "


Mari kita sama-sama fikirkan........

Sajak Khas Buat Insan Bergelar Guru

Usman Awang

GURU OH GURU

                                                         "  Berburu ke padang datar ,
                                                                  Dapat rusa belang kaki,
                                                            Berguru kepala ajar,
                                                                 Ibarat bunga kembang tak jadi. "

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

Salam Maal Hijrah 1433

Saturday 26 November 2011

Majlis Restu Ilmu

    Panitia Bahasa Melayu dengan kerjasama guru-guru tahun 6 telah menganjurkan Majlis Restu Ilmu khusus untuk murid-murid tahun 6 sebelum hari peperiksaan UPSR 2011 bermula. Ianya bertujuan untuk murid-murid memperoleh keberkatan sepanjang menuntut ilmu bersama guru-guru. 

    Majlis ini bermula dengan bacaan doa dan bersalaman dengan guru-guru. Guru-guru mendoakan murid-murid mendapat kejayaan dengan mendapat keputusan yang cemerlang. Amin....




Bacaan doa diketuai oleh Ust Mohd Shaaban 

Murid-murid mengaminkan doa

Semua guru mendoakan kejayaan murid-murid

Murid-murid bersalaman memohon keberkatan

Murid lelaki menunggu giliran untuk bersalaman







Bengkel Teknik Menjawab Kertas Bahasa Melayu


  Guru-guru Bahasa Melayu di bawah Panitia Bahasa Melayu telah menganjurkan Program Teknik Menjawab soalan kepada murid-murid Tahun 5 & 6.

Peserta Murid Tahun 5 & 6

Fasilitator : Encik Abdul Wahid

Matlamat Program :

1. Memberi pendedahan kepada murid mengenai teknik menjawab soalan peperiksaan.
2. Menggalakkan soal jawab murid dengan guru/fasilitator.
3. Meningkatkan kefahaman murid mengenai cara/teknik menjawab soalan


Fasilitator memberikan ceramah


Murid-murid melakukan aktiviti


Pening kepala nak siapkan tugasan diberi


Murid-murid mendengar taklimat dengan khusyuk.

Thursday 24 November 2011

Program Luar Panitia Bahasa Melayu

  Panitia Bahasa Melayu telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Hutan Lipur Ulu Bendul, Negeri Sembilan. 

Peserta : 35 orang
Guru Pengiring : 5 orang

Aktiviti : 
1. Laluan berhalangan menyusuri denai
2. Jati Diri
3. Riadah

Matlamat Program : 
1. Memberi pendedahan kepada murid dengan aktiviti luar.
2. Membentuk kerjasama, disiplin diri dan bertanggungjawab.
3. Membentuk keyakinan diri serta berdikari di dalam diri murid-murid.

Murid baru bertolak dari sekolah

Murid mendengar taklimat daripada Urusetia

Murid-murid memulakan perjalanan menyusuri denai

Halangan yang bakal ditempuhi murid

Guru dan murid berhenti rehat sebentar

Aktiviti riadah selepas penat berjalan

Guru lelaki bersama Urusetia

Merehatkan sebentar...