" Mutiara Kata "

Monday, 28 November 2011

Pantun Khas Buat Guru



Hati yang perit serah-serahi,
Buat luahan jantung karangan;
Sayangkan murid marah-marahi,
Muka kasihan ditunjuk jangan.

Longan, ciku, kuih bahulu,
Asam jawa, buah pulasan;
Jangan cikgu memilih bulu,
Biar semua dapat balasan.

Cucur badak di kedai nenek,
Murahnya harga dapat berjimat;
Ajar budak akhlak yang baik,
Dunia dibangga, akhirat selamat

Makanlah sagu desa Kerinchi,
Menyabit di hutan Kampung Kepayang;
Bukanlah cikgu berasa benci,
Cubit dan rotan penghubung sayang.

Pulang pemburu dengan riangnya,
Dapat menghambat si anak rusa;
Berjuang guru dengan ilmunya,
Menobat martabat si anak bangsa.

Buat sempadan darinya parit,
Guna menghadang orang seludup;
Guru teladan kepada murid,
Diikut dipandang di dalam hidup.

Makcik Siti menenun gebar,
Untuk si adik lena berangan;
Cikgu mesti banyak bersabar,
Tugas mendidik bukannya ringan.

Pinjamlah nyiru rumah Pak Alang,
Untuk mengisi si buah pala;
Jasanya guru bukan kepalang,
Mengajar mengenal ilmu segala.

Berjalan kaki ke Pekan Sialang,
Ingin membeli cincin suasa;
Doktor, hakim, pemimpin terbilang,
Bermulanya dari guru biasa.

Tasik Aru airnya tenang,
Tempat melihat si burung undan;
Jasa guru tetap dikenang,
Selagi hayat dikandung badan.

Ayu semarak di sisi bonda,
Kekal berseri jambangan gelora;
Guru pencorak generasi muda,
Bakal mengisi kepimpinan negara.

Jiwa derita batin merana,
Kenangan silam tiada ceria;
Guru pelita penerang buana,
Menyuluh kelam dengan cahaya.

No comments:

Post a Comment