" Mutiara Kata "

Tuesday, 13 December 2011

Asal-usul Bahasa Melayu

     Asal usul perkataan Melayu masih belum dapat disahkan oleh sejarawan. Bagaimanapun terdapat beberapa bukti sejarah yang cuba mengaitkan asal-usul bahasa Melayu, seperti mana berikut:
 
1.  Catatan orang China yang menyatakan bahawa sebuah kerajaan Mo-lo-yeu mempersembahkan hasil bumi kepada raja China sekitar 644-645    Masihi. Dikatakan orang Mo-lo-yeu mengirimkan Utusan ke negara China untuk mempersembahkan hasil-hasil bumi kepada raja China.

2. Ada yang mempercayai kerajaan Mo-lo-yeu berpusat di daerah Jambi, Sumatera , daripada sebatang sungai yang deras alirannya, iitu Sungai Melayu.

3. Satu lagi catatan orang China ialah catatan rahib Buddha bernama I-Tsing yang menggunakan kata ma-lo-yu tentang dua buah kerajaan yang dilawatinya sekitar 675 Masihi.

4. Dalam bahasa Jawa Kuno, perkataan ``Mlayu'' bermaksud berlari atau mengembara. Hal ini boleh dipadankan dengan orang Indo-Melayu (Austonesia) yang bergerak dari Yunan.

 Asal Usul Bangsa Melayu

     Dipercayai berasal daripada golongan Austronesia di Yunan. Kumpulan pertama dikenali sebagai Melayu Proto. Berpindah ke Asia Tenggara pada Zaman Batu Baru (2500 Sebelum Masihi). Keturunannya Orang Asli di Semenanjung Malaysia, Dayak di Sarawak dan Batak di Sumatera.

     Kumpulan kedua dikenali sebagai Melayu Deutro. Berpindah ke Asia Tenggara pada Zaman Logam kira-kira 1500 Sebelum Massihi. Keturunannya orang Melayu di Malaysia. Dikatakan lebih bijak dan dan mahir daripada Melayu Proto. Bijak dalam bidang astronomi, pelayaran dan bercucuk tanam. Bilangan lebih banyak daripada Melayu Proto. Menduduki kawasan pantai dan lembah di Asia Tenggara. Orang ini, kumpulan pertama dan kedua, dikenali sebagai Austronesia. Bahasa-bahasa yang terdapat di Nusantara sekarang berpunca daripada bahasa Austronesia ini.


     Nik Safiah Karim menerangkan bahawa bahasa Austronesia ialah satu rumpun bahasa dalam filum bahasa Austris bersama-sama dengan rumpun bahasa Austroasia dan Tibet-China (rujuk carta alir di atas).

    Bahasa Melayu termasuk dalam bahasa-bahasa Golongan Sumatera bersama-sama dengan bahasa-bahasa Acheh, Batak, Minangkabau, Nias, Lampung dan Orang Laut.

Perkembangan Bahasa Melayu

Ahli bahasa membahagikan perkembangan bahasa Melayu kepada tiga tahap utama iaitu:
  • Bahasa Melayu Kuno,
  • Bahasa Melayu Klasik dan
  • Bahasa Melayu Moden.

Bahasa Melayu Kuno

    Merupakan keluarga bahasa Nusantara. Kegemilangannya dari abad ke-7 hingga abad ke-13 pada zaman kerajaan Sriwijaya, sebagai lingua franca dan bahasa pentadbiran. Penuturnya di Semenanjung, Kepulauan Riau dan Sumatera. Ia menjadi lingua franca dan sebagai bahasa pentadbiran kerana:
  • Bersifat sederhana dan mudah menerima pengaruh luar.
  • Tidak terikat kepada perbezaan susun lapis masyarakat
  • Mempunyai sistem yang lebih mudah berbanding dengan bahasa Jawa.
    Banyak dipengaruhi oleh sistem bahasa Sanskrit. Bahasa Sanskrit kemudian dikenal pasti menyumbang kepada pengkayaan kosa  kata dan ciri-ciri keilmuaan (kesarjanaan) Bahasa Melayu. Bahasa Melayu mudah dipengaruhi Sanskrit kerana:
  • Pengaruh agama Hindu
  • Bahasa Sanskrit terletak dalam kelas bangsawan, dan dikatakan mempunyai hierarki yang tinggi.
  • Sifat bahasa Melayu yang mudah dilentur mengikut keadaan dan keperluan.
Bahasa Melayu kuno pada batu-batu bersurat abad ke-7 yang ditulis dengan huruf Pallawa:
  • Batu bersurat di Kedukan Bukit, Palembang (683 M)
  • Batu bersurat di Talang Ruwo, dekat Palembang (684 M)
  • Batu bersurat di Kota Kampur, Pulau Bangka (686 M)
  • Batu bersurat di Karang Brahi, Meringin, daerah Hulu Jambi (686 M)
Bahasa Melayu kuno pada batu bersurat di Gandasuli, Jawa Tengah (832 M) ditulis dalam huruf Nagiri.

Ciri-ciri bahasa Melayu kuno:
  • Penuh dengan kata-kata pinjaman Sanskrit
  • Susunan ayat bersifat Melayu
  • Bunyi b ialah w dalam Melayu kuno (Contoh: bulan - wulan)
  • bunyi e pepet tidak wujud (Contoh dengan - dngan atau dangan)
  • Awalan ber- ialah mar- dalam Melayu kuno (contoh: berlepas-marlapas)
  • Awalan di- ialah ni- dalam bahasa Melayu kuno (Contoh: diperbuat - niparwuat)
  • Ada bunyi konsonan yang diaspirasikan seperti bh, th, ph, dh, kh, h (Contoh: sukhatshitta)
  • Huruf h hilang dalam bahasa moden (Contoh: semua-samuha, saya: sahaya)

Peralihan Bahasa Melayu Kuno Ke Bahasa Melayu Klasik

    Peralihan ini dikaitkan dengan pengaruh agama Islam yang semakin mantap di Asia Tenggara pada abad ke-13. Selepas itu, bahasa Melayu mengalami banyak perubahan dari segi kosa kata, struktur ayat dan tulisan.

Terdapat tiga batu bersurat yang penting:

a. batu bersurat di Pagar Ruyung, Minangkabau (1356)
  • ditulis dalam huruf India
  • mengandungi prosa melayu kuno dan beberapa baris sajakm Sanskrit.
  • bahasanya berbeza sedikit daripada bahasa batu bersurat abad ke-7.
b. Batu bersurat di Minye Tujuh, Acheh (1380)
  • masih memakai abjad India
  • buat pertama kalinya terdapat penggunaan kata-kata Arab seperti kalimat nabi, Allah dan rahmat
c. batu bersurat di Kuala Berang, Terengganu (1303-1387)
  • ditulis dalam tulisan Jawi
  • membuktikan tulisan Arab telah telah digunakan dalam bahasa Melayu pada abad itu.
Ketiga-tiga batu bersurat ini merupakan bukti catatan terakhir perkembangan bahasa Melayu kerana selepas abad ke-14, muncul kesusasteraan Melayu dalam bentuk tulisan.

Bahasa Melayu Klasik

Kegemilangannya boleh dibahagikan kepada tiga zaman penting:
  • Zaman kerajaan Melaka
  • Zaman kerajaab Acheh
  • Zaman kerajaan Johor-Riau
Antara tokoh-tokoh penulis yang penting ialah Hamzah Fansuri, Syamsuddin al-Sumaterani, Syeikh Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf al-Singkel.
Ciri-ciri bahasa klasik:
  • ayat: panjang,  berulang, berbelit-belit.
  • banyak ayat pasif
  • menggunakan bahasa istana
  • kosa kata klasik: ratna mutu manikam, edan kesmaran (mabuk asmara), sahaya, masyghul (bersedih)
  • banyak menggunakan perdu perkataan (kata pangkal ayat): sebermula, alkisah, hatta, adapun.
  • ayat songsang
  • banyak menggunakan partikel ``pun'' dan `'lah''

Bahasa Melayu Moden

     Bermula pada abad ke-19. Hasil karangan Munsyi Abdullah dianggap sebagai permulaan zaman bahasa Melayu moden. Sebelum penjajahan Beritish, bahasa Melayu mencapai kedudukan yang tinggi, berfungsi sebagai bahasa perantaraan, pentadbiran, kesusasteraan, dan bahasa pengantar di pusat pendidikan Islam. Selepas Perang Dunia Kedua, British merubah dasar menjadikan bahasa Inggeris sebagai pengantar dalam sistem pendidikan.

   Semasa Malaysia mencapai kemerdekaan, Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Laporan Razak 1956 mencadangkan bahasa Melayu sebagai pengantar dalam sistem pendidikan negara.

Dasar PPSMI - MBMMBI


Dasar MBMMBI

Secara dasar MBMMBI adalah berikut
Memartabatkan bahasa Malaysia melalui :
  1. Pendekatan P&P
  2. Guru bahasa Malaysia berkualiti
  3. Perluasan ICT dalam P&P
  4. Melaksanakan P&P Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia di SK dan bahasa ibunda di SJKT dan SJKC.
Memperkukuhkan bahasa Inggeris melalui :
  1. Penambahan waktu P&P bahasa Inggeris di SK, SM, SJKT dan SJKC
  2. Guru bahasa Inggeris yang berkualiti
  3. Pendekatan P&P
  4. Menambah fungsi makmal komputer kepada makmal bahasa.
Maklumat lanjut boleh rujuk di laman mikro MBMMBI di url http://www.moe.gov.my/mbmmbi
Fungsi BTP, BTPN dan PKG adalah daripada sokongan teknikal kepada sekolah dalam melaksanakan MBMMBI pada tahun hadapan.

Pemansuhan PPSMI

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan dilakukan secara berperingkat mengikut kaedah ‘soft landing’ mulai 2012.

   Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pemansuhan akan bermula secara berperingkat bagi pelajar Tahun 1 dan Tahun 4 bagi sekolah rendah dan Tingkatan 1 serta Tingkatan 4 bagi sekolah menengah, manakala Tingkatan 6 serta matrikulasi tidak terbabit.

    Bagi menyediakan mekanisme ‘soft landing’ pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Malaysia (BM), Muhyiddin berkata, kedua-dua mata pelajaran itu akan diajar dalam dwibahasa iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Cina atau Bahasa Tamil dan Bahasa Inggeris di sekolah rendah dan dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris (BI) di sekolah menengah mulai 2010.

   Katanya, pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam dwibahasa bagi Tahun 4 akan dilaksana pada 2012, 2013 dan 2014; Tahun 5 pada 2013, 2014 dan 2015 dan Tahun 6 (2014, 2015 dan 2016).

   “Oleh itu, peperiksaan Sains dan Matematik Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) akan terus dilaksanakan dalam dwibahasa sehingga 2016.

  “Pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik bagi Tingkatan 4 pada 2012, 2013 dan 2014 dan Tingkatan 5 pada 2013, 2014 dan 2015 dilaksanakan dalam dwibahasa.

   “Peperiksaan Sains dan Matematik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan terus dilaksanakan dalam dwibahasa sehingga 2015,” katanya pada sidang media mengumumkan pemenang Anugerah Sastera Negara Ke-10 di pejabatnya di sini, semalam. 

   Hadir sama Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.Timbalan Perdana Menteri memberi penjelasan itu keran sanaan dasar memartabatkan Bahasa Malaysia dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris bagi menggantikan PPSMI.

   Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan perubahan terhadap dasar PPSMI dengan kembali kepada Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan dan bagi sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil pula dalam bahasa ibunda masing-masing bermula 2012.

Sumber : Berita Harian

Dasar PPSMI

Pengenalan

    PPSMI telah termaktub sebagai keputusan dasar kerajaan Malaysia hasil daripada Mesyuarat Khas Jemaah Menteri pada 19 Julai 2002.

    Pelaksanaan PPSMI adalah secara berperingkat, bermula pada sesi persekolahan tahun 2003 dengan perintisnya ialah semua murid Tahun 1 untuk peringkat Sekolah Rendah dan Tingkatan 1 serta Tingkatan 6 Rendah untuk peringkat Sekolah Menengah.

   Pelaksanaan penuh PPSMI ialah pada tahun 2007 untuk peringkat Sekolah Menengah sementara peringkat Sekolah Rendah ialah pada tahun 2008.

  Rasional kepada peralihan bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris adalah atas dasar keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan sumber tenaga manusia untuk mencapai taraf negara maju dan persiapan dari peringkat awal persekolahan untuk bersaing dalam era globalisasi.

   Umum mengetahui bahawa sains dan matematik adalah bidang yang menjadi asas dan berperanan penting dalam kemajuan dan pembangunan sesebuah negara. Pelbagai inovasi dan penemuan baru dalam bidang ini berlaku dengan pantas dan capaian maklumat mengenai perkembangan dalam bidang ini banyak terdapat dalam bahasa Inggeris.

   Selain itu, bahasa Inggeris adalah bahasa hubungan antarabangsa dan penguasaan dalam bahasa ini memudahkan perolehan ilmu dalam bidang ini.

   Kesimpulannya, keputusan dasar untuk melaksanakan PPSMI bertujuan memastikan penguasaan yang lebih baik dalam sains dan matematik di kalangan murid memandangkan sebahagian besar sumbernya adalah dalam bahasa Inggeris. Secara tidak langsung, pelaksanaan PPSMI diharapkan akan turut meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid.


Peranan BBT dalam PPSMI

    Peranan BBT telah bermula sejak 2002 sebaik sahaja kabinet memutuskan dasar PPSMI dilaksanakan mulai tahun 2003. BBT berperanan dalam menguruskan penghasilan dan pembekalan Pakej Buku Teks dan Buku Glosari Sains dan Matematik untuk Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah.

   Beberapa perubahan telah dilakukan oleh BBT yang melibatkan komponen bagi Pakej Buku Teks Sains dan Matematik dengan tujuan membantu guru dan murid dalam menjayakan program PPSMI ini.

   Antaranya, Pakej Buku Teks Mathematics Year 1 merangkumi komponen Buku Teks, Buku Latihan dan Aktiviti, CD-ROM untuk murid (MyCD), CD-ROM untuk guru dan Buku Panduan Guru.

   Semua komponen ini diterbitkan dalam dua jilid (Part 1 dan Part 2) bertujuan mengatasi masalah beg berat.

   Pada tahun pertama (2003) pelaksanaan PPSMI, pakej buku teks tambahan telah dibekalkan kepada semua sekolah.

   Pembekalan pakej buku teks tambahan ini adalah secara one off dan di bawah pengurusan SPBT sekolah. Pakej buku teks tambahan ini boleh dipinjamkan kepada murid untuk rujukan  mereka dan juga bagi tujuan guru melaksanakan P & P Matematik di dalam bilik darjah.

    BBT turut menguruskan penghasilan Buku Glosari Sains dan Matematik untuk Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah. Penghasilan buku glosari ini adalah sebahagian daripada Program Intervensi PPSMI yang dimulakan pada tahun 2005.
 

Pakej Buku Teks Sains dan Matematik untuk PPSMI

   Buku teks Sains dan Matematik yang dibekalkan ke sekolah di bawah Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) adalah secara berpakej. Penulisan pakej buku teks ini adalah berdasarkan keperluan dan hasrat yang dinyatakan dalam Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran Sains dan Matematik masing-masing.

   Pakej Buku Teks Sains dan Matematik terdiri daripada beberapa komponen bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran (p&p) di sekolah.

   Fungsi setiap komponen secara umumnya adalah seperti berikut:
 
i) Buku Teks (Textbook)

Buku Teks disediakan untuk murid sebagai sumber asas mendapatkan pengetahuan tentang konsep dan kemahiran dalam pembelajaran sains dan matematik.
 
ii) Buku Latihan dan Aktiviti (Activity Book)

Buku Latihan dan Aktiviti (BLA) disediakan untuk murid bagi mengukuhkan kefahaman konsep dan penguasaan kemahiran sains dan matematik yang telah dipelajari daripada buku teks. BLA membekalkan soalan latihan dan aktiviti yang dapat dilaksanakan oleh murid. BLA adalah komponen Pakej Buku Teks Sains dan Matematik Tahap Satu sahaja.
 
iii) Buku Panduan Guru (Teacher's Guide)

Buku Panduan Guru disediakan untuk guru sebagai sumber rujukan dan panduan supaya memudahkan guru merancang dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara berkesan. Buku panduan ini  juga membantu guru mengemaskini dan meningkatkan pengetahuan sains dan matematik serta merangsang kreativiti guru dalam P&P. Buku Panduan Guru adalah komponen Pakej Buku Teks Sains dan Matematik untuk Tahap Dua serta Pakej Buku Teks Matematik Tahun Satu.
 
iv) MyCD (Pupil's CD-ROM)

MyCD ialah CD-ROM untuk murid yang bertujuan mengukuhkan kefahaman murid berkaitan konsep sains dan matematik yang telah mereka pelajari melalui persembahan multimedia. Kandungan MyCD adalah Latihan dan Aktiviti secara interaktif, permainan, simulasi dan e-ujian.
 
v) CD-ROM Guru (Teacher's CD-ROM)

CD-ROM Guru bertujuan membantu guru dalam merancang dan melaksanakan P&P sains dan matematik. Antara kandungan di dalam CD-ROM Guru ialah strategi P&P, bank soalan, aktiviti tambahan dan senarai URL yang relevan dengan pendidikan sains dan matematik. CD-ROM Guru adalah komponen Pakej Buku Teks Sains dan Matematik untuk Tahap Satu sahaja.
 
vi) Buku Amali Sains (Science Practical Book)

Buku Amali Sains diterbitkan untuk memastikan mata pelajaran Sains diajar secara amali dan bukan hanya secara teori. Selain itu, daya pemikiran dan kreativiti murid dapat dikembangkan melalui amali serta menimbulkan minat murid terhadap Sains. Buku Amali Sains adalah komponen Pakej Buku Teks Sains untuk Tahap Dua sahaja.
 
Buku Glosari

Buku Glosari Sains dan Matematik adalah bahan rujukan guru dan murid untuk mengenal sesuatu istilah melalui definisi dan penggunaan istilah tersebut dengan lebih tepat. Selanjutnya »

Senarai Pakej Buku Teks Yang Dibekalkan oleh BBT

Senarai judul Pakej Buku Teks Sains dan Matematik yang dibekalkan ke sekolah berserta komponennya adalah seperti pada lampiran di bawah :
  • Sekolah rendah
  • Sekolah menengah

Perkembangan Bahasa Malaysia

Perkembangan Bahasa Malaysia


   Perkara 152, perenggan 1, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (sekarang Malaysia) menyatakan bahawa "bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu dan ditulis dalam bentuk tulisan yang ditentukan oleh parlimen". Dengan perakuan ini, maka bermulalah era baru bagi bahasa Melayu, satu bahasa yang pernah melalui zaman kegemilangan, dengan menjadi lingua franca seluruh daerah Kepulauan Melayu.

     Bahasa Malaysia hanya satu nama yang timbul selepas 13 Mei 1969 demi untuk menghilangkan konotasi bahawa bahasa Melayu ini adalah kepunyaan orang Melayu sahaja. Dengan menamakannya sebagai bahasa Malaysia, maka diharapkan agar kaum-kaum lain mudah menerimanya. Sebenarnya, bahasa itu tetap serupa walau apa pun nama yang diberikan kepadanya. 
   Dari segi kemajuan bahasa Melayu sejak tahun 1957, terdapat tiga peringkat utama perkembangannya yang, secara amnya, dapat dibahagikan mengikut dekad. 

 

Dekad lima dan enam puluhan 

   
     Zaman ini merupakan tahap permulaan dalam proses pemupukan bahasa Melayu. Pada peringkat ini, masalah-masalah utama yang dihadapi adalah untuk meyakinkan rakyat terhadap keupayaan bahasa Melayu untuk mengambil alih bahasa Inggeris, serta untuk menjalankan tugas-tugasnya dengan cekap dan berkesan. Ketika itu, terdapat sebilangan besar rakyat yang berasa ragu terhadap kemampuan bahasa Melayu dan mempersoalkan kebijaksanaan menggantikan bahasa Inggeris, satu bahasa moden, dengan bahasa yang tidak begitu maju tarafnya, iaitu bahasa Melayu. Keraguan ini dapat dibayangkan melalui dua contoh yang berikut:

  • Pengiran Othman Rauf, Menteri Tidak Berportfolio dalam Jabatan Perdana Menteri mengatakan dalam Utusan Malaysia (m.s. 12, 13 April 1979) bahawa sehingga masa itu, bahasa Malaysia masih sukar dilaksanakan di mahkamah kerana kekurangan rujukan dan kerana laporan kes dibuat dalam bahasa Inggeris.
  • Dalam Persidangan Pegawai-pegawai Kehakiman Ke-6 pada 18 Julai 1979, Ketua Hakim Negara ketika itu secara terus terang menafikan keupayaan bahasa Malaysia menjadi bahasa dalam perbicaraan di mahkamah untuk tempoh beberapa puluh tahun lagi. Beliau berkata:

Penggunaan bahasa Malaysia di mahkamah tidak mungkin boleh dijadikan universal untuk beberapa waktu, sudah tentu tidak semasa hayat saya — ada kira-kira 20 tahun lagi bagi saya hidup — dan tidak juga selepas beberapa lama saya mati.
    Memandangkan bahawa kedua-dua kenyataan telah dibuat 22 tahun selepas perisytiharan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Malaysia, keadaan keraguan terhadap keupayaan bahasa Melayu pada dekad 1950-an dan 60-an jelas jauh lebih teruk.

Dekad tujuh puluhan

   
     Pada awal peringkat ini, bahasa Melayu mula digunakan sebagai bahasa pengantar utama di sekolah-sekolah, sebagai bahasa pentadbiran kerajaan, dan sebagai bahasa perhubungan awam. Usaha-usaha untuk melengkapkan bahasa berlipat ganda. Terdapat dua kesan daripada gejala pengintensifan penggunaan bahasa Melayu ini:

  • Dalam masa yang singkat, melalui usaha-usaha yang gigih oleh semua pihak, bahasa yang dahulu disifatkan sebagai anak tiri telah mekar berkembang menjadi sekuntum bunga yang harum.
  • Perkembangan yang terlalu pesat itu membawa kesan-kesan negatif yang mengakibatkan pencemaran bahasa.

Dekad lapan puluhan

   
    Dalam perancangan bahasa kebangsaan, tahun 1983 mempunyai implikasi penting kerana pada tarikh ini, seorang kanak-kanak Malaysia menerima seluruh persekolahannya dari darjah satu hingga ke peringkat universiti dalam bahasa Malaysia. Dalam bidang-bidang lain juga, pelaksanaan penggunaan bahasa kebangsaan telah selesai. Dapatlah dikatakan bahawa tahun-tahun 1980-an merupakan tahun-tahun kematangan bagi bahasa Melayu.

    Kalau dalam tahun-tahun 1970-an, penutur-penuturnya masih meraba-meraba dalam gelap, dan istilah-istilah dan ungkapan baru masih dicari-cari, maka tahun-tahun 1980-an boleh dianggap sebagai zaman taraf kesempurnaan hampir tercapai. Istilah-istilah teknik dapat diperoleh dengan mudah. Gaya bahasa telah dikembangkan untuk membolehkan bahasa Melayu memperkatakan sesuatu dengan tepat dan sempurna. Penutur-penuturnya, terutama di kalangan generasi muda, dapat mengeluarkan fikiran dan perasaan dengan sempurna dalam bahasa Melayu.

Menjelang abad ke-21

     Jalan yang akan dilalui oleh bahasa Melayu tidak akan berlainan daripada jalan-jalan yang dilalui oleh bahasa-bahasa moden lain di dunia, seperti bahasa Inggeris, Perancis, Jerman, Rusia, Cina, Jepun, dan lain-lain.

    Bahasa adalah alat yang digunakan oleh anggota masyarakat sebagai saluran untuk menyatakan fikiran dan perasaan. Selagi masyarakat itu aktif dan berkembang, demikian juga bahasanya. Sistem bunyinya, sistem pembentukan katanya, serta sistem frasa dan ayatnya turut menyesuaikan diri dengan apa-apa perubahan yang berlaku pada masyarakat.

    Apabila bahasa Melayu sudah lama digunakan sebagai bahasa ilmiah, akan muncul ciri-ciri yang bertujuan membolehkan bahasa Melayu memperkatakan hal-hal dengan lebih abstrak, tetapi tepat dan tegas. Taraf keintelektualan ini berlaku pada semua peringkat, termasuk perbendaharaan kata, tatabahasa, dan juga gaya. Penekanan juga akan diberi kepada aspek-aspek estetik. Apabila bahasa Melayu telah digunakan sedemikian lama oleh jumlah penutur yang agak besar, dan apabila penguasaan masing-masing sudah mencapai taraf yang membanggakan, maka penekanan kepada aspek-aspek keindahan bahasa akan muncul secara automatik. Bahasa Melayu sudah mencapai taraf kematangan dari segi penggunaannya.

Perkara remeh-temeh


  • Bahasa Melayu pada asalnya terdiri daripada enam dan bukannya lima vokal. Dalam hal ini, e taling (ĕ) telah ditiadakan pada tahun 1972 (atau 1974) sebagai suatu tolak ansur semasa berlaku penyatuan sistem ejaan bahasa Melayu-bahasa Indonesia. Penghapusan vokal ini merupakan satu kelebihan kerana penulisan boleh dibuat secara mudah kerana misalnya, 'emak' (ĕmak) yang berbunyi tidak sama dengan 'enak' dieja sama sahaja. 
  • 'Ch' juga telah telah ditukarkan menjadi 'c', umpamanya chantik, dan 'ye' ditukarkan menjadi 'i', umpamanya ayer.
  • Perkataan ganda yang dahulu boleh disingkatkan, umpamanya kadang2, kini diharamkan dan ditulis secara penuh sebagai kadang-kadang.
  • Ia merupakan satu perkataan yang amat popular dan tidak dianggap sebagai salah sebelum dekad 1970-an.

Monday, 12 December 2011

Program Buku Bergerak 2011

     Program Buku Bergerak 2011 dilancarkan pada hari Isnin 24 April 2011 oleh Puan Guru Besar, Puan Hajjah Zaibi Bt Abu dibawah program Panatia Bahasa Melayu. Setiap kelas dibekalkan dengan satu bakul buku. Pelajar-pelajar setiap kelas boleh membaca buku-buku yang dibekalkan  pada masa luang sementara menunggu guru masuk ataupun pada masa free selain dari masa P&P ataupun pada masa rehat. Buku-buku akan ditukar dalam tempoh masa tertentu antara  kelas-kelas.

Matlamat Program

1. Memupuk budaya membaca sepanjang masa tanpa mengira waktu.

2. Melatih para pelajar supaya sentiasa berdisiplin semasa ketiadaan guru.
3. Menambahkan perbendaharaan kata murid-murid, ini dapat  membantu mereka untuk menulis ayat-ayat ataupun karangan dengan lebih bagus.
4. Sebagai salah satu cara untuk melatih murid-murid yang lemah membaca agar lebih berminat dengan bahan-bahan bacaan.

Ketua Kelas Tahun 4 menerima bakul Program Buku Bergerak

Ketua Kelas Tahun 5 menerima bakul Program Buku Bergerak

Ketua Kelas Tahun 6 menerima bakul Program Buku Bergerak

Wakil-wakil murid Tahun 1, Tahun, dan Tahun 3